Cara Membuat Pizza Sejuk Beku Sempena Bulan Ramadhan

Sebut sahaja bulan Ramadhan, anda pasti akan lalui waktu bersahur dan berbuka puasa. Ia merupakan sunnah Rasulullah dalam menyambut bulan puasa. Namun, aktiviti menyediakan juadah makanan untuk keluarga selalunya mengambil sedikit masa. Lagi-lagi buat anda yang ingin hasilkan makanan yang lebih lazat.

Jadi, saya mula terfikirkan makanan yang boleh disediakan lebih awal, iaitu sebelum bulan Ramadhan lagi. Ini dapat meringankan beban anda ketika berpuasa. Pizza sejuk beku !

Antara makanan menjadi pilihan ramai adalah makanan sejuk beku. Ini kerana ia menjimatkan masa dan mudah disediakan. Hanya nyahbeku dan goreng atau bakar sahaja. Jimat masa, tenaga pun dapat dikurangkan. Barulah anda dapat nikmati bulan puasa dengan tenang dan puas !

Kali ini, saya ingin hasilkan pizza. Perancangannya adalah menyediakan pizza ketika waktu sahur. Biar ada makanan tambahan untuk memberi semangat bekerja untuk hari itu. Permulaan yang baik pasti memberi anda semangat, bukan?

Apa yang menariknya adalah saya ingin hasilkan pizza dihujung bulatan lebih tebal berbanding di tengah-tengah pizza. Hasilnya pizza anda nampak lebih cantik, seperti pizza betul pula saya lihatnya seperti gambar di bawah.

base pizza

Tanpa melengahkan masa, saya sertakan resepi yang saya gunakan ketika hasilkan pizza yang sedap dan lembut ini.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah :

270 ml air

80 g gula

4 g garam

30 susu pekat manis

600 g tepung gandum

8 g yis segera

1 telur

30 g mentega

Cara membuatnya adalah semestinya saya menggunakan stand mixer. Ini satu lagi cara mengurangkan tenaga, iaitu menggunakan bantuan mesin. Stand mixer !

Hanya masukkan kesemua bahan kecuali mentega dan buka suis. Setelah bahan tersebut sudah menjadi doh, barulah masukkan mentega dan gaul lagi menggunakan stand mixer. Sehinggalah hasil doh menjadi nipis seperti di bawah.

Warna kulit jari pun dapat lihat

Tutup bekas stand mixer dengan kain dan tunggu selama 30 minit. Kemudian, gaul lagi. Kali ini, doh yang telah kembang menjadi kecut balik. Setelah itu, biarkan lagi 15 minit.

Barulah anda dapat bentukkan pizza mengikut bentuk kesukaan anda. Gunakan parchment paper sebagai alas pizza anda. Saya suka menggunakan parchment paper kerana ia tidak menjadikan pizza anda melekat. Sebelum ini saya meletakkan pizza di atas loyang, punyalah perlu berhati-hati mengikis bawah pizza supaya pizza tidak koyak atau pecah.

Malah, saya pernah terbaca satu komen memberi cadangan menggunakan parchment paper juga. Jadi, anda boleh mencubanya !

Biarkan pizza yang telah dibentuk selama satu jam.

Apa tips dalam menghasilkan pizza ini? Salah satu tips adalah yis segera. Elakkan yis dari terkena garam secara terus. Tips lain pula adalah pastikan doh adunan tidak terlalu lembik atau terlalu keras. Tekstur adunan lembut sahaja.

Cubit-cubit geram. Lembutnya lahai. Siap ni, memang kena makan !

Topping pizza pula nak letak apa? Bagi menghasilkan pizza yang sedap, saya lebih suka membuat sos tomato sendiri. Saya menggunakan tomato fresh yang dibeli di pasar tani sahaja.

Ketika menghasilkan sos tomato ini, saya terlebih dahulu membuang kulit tomato. Lebih kurang 6 biji tomato. Kemudian dipotong dan dikisar menggunakan mesin pengisar. Di samping itu, 1 bawang merah dan 3 ulas bawang putih dikisar.

Panaskan sedikit minyak panas dan tumis bawang yang dikisar tadi hingga bau wangi. Kemudian, masukkan tomato yang dikisar dan gaul. Masukkan garam dan lada putih. Gaul sehingga menjadi pes tomato yang pekat.

Bukan itu sahaja, anda boleh letakkan ayam atau ikan, sayuran seperti lada benggala, cheese dan apa sahaja yang anda suka.

Ayam dimasak terlebih dahulu di atas kuali tanpa minyak. Gaul ayam sehingga kering air ayam. Kemudian, bolehlah anda letak ayam di atas pizza.

Setelah doh pizza yang telah selesai naik sejam tadi, boleh la anda sapu topping di atasnya. Kemudian, bakar pada suhu 210 darjah celcius selama 4 minit atau sehingga hampir perang (tidak perlu perang pun sebenarnya).

Untuk pizza sejuk beku, cukuplah sos tomato yang dibuat sendiri dan ayam yang telah dimasak. Ketika ingin dihidangkan untuk sahur atau berbuka, barulah tambah bahan lain seperti cheese dan lada benggala.

Pizza ditabur dengan beberapa bahan topping sebelum dibakar
Keadaan pizza sejuk beku di dalam peti

Biarkan sejuk dan masukkan ke dalam plastik. Kemudian, sedia untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk beku. Tak sabar ingin makan ketika sahur esok hari !

Cara saya nyah beku sebelum dibakar untuk dimakan ketika sahur adalah dengan meletakkan pizza sejuk beku ke dalam peti sejuk biasa sebelum tidur. Ini bagi mempercepatkan proses nyah beku waktu pagi sahur esoknya.

Berapa lama pula masa yang diperlukan untuk membakar pizza sejuk beku? Setelah pizza anda sudah dinyah beku, anda boleh membakarnya di dalam oven selama 4 atau 5 minit. Pastikan oven panas terlebih dahulu sebelum dimasukkan pizza.

Puas dapat makan pizza ketika bersahur. Selalunya, orang Malaysia memakan nasi atau kurma sahaja pada waktu sahur, bukan? Jadi, apakata tambah menu pizza untuk alas perut ketika bersahur atau berbuka nanti.

Tambahan maklumat, resepi pizza sejuk beku ini boleh dihasilkan sebanyak 6 pizza bersaiz 9 inci. Bolehlah makan pizza untuk 6 hari ketika bersahur atau berbuka nanti. Selamat mencuba !

biskut coklat badam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *