Memikirkan badan akan rasa penat dan malas ketika Ramadhan, saya mula mendapat idea. Saya ingin hasilkan makanan sejuk beku. Donut !
Kenapa sejuk beku? Oleh kerana, makanan sejuk beku adalah makanan ekspres atau cepat untuk disediakan. Ia menjimatkan masa dan tenaga anda ketika di dapur. Jadi, donut adalah makanan pertama yang saya ingin hasilkan untuk dijadikan sejuk beku sempena bulan Ramadhan pada tahun 2022.
Bahan-bahan untuk jadikan donut pun tidak lah banyak sangat. Terdapat 7 keseluruhannya. Cara membuatnya pun mudah. Hanya masukkan semua kecuali mentega dan uli menggunakan stand mixer. Setelah adunan hampir terbentuk, baru masukkan mentega. Uli sehingga adunan boleh ditarik nipis.
Tanpa melengahkan masa lagi, bahan-bahan donut sejuk beku adalah seperti di bawah:
Bahan yang diperlukan:
295 ml air
80 g gula
4 g garam
35 g susu pekat manis
600 g tepung gandum
8 g yis segera
30 g mentega
Dalam resepi donut kali ini, saya lebih suka tidak menggunakan telur. Walaupun telur boleh menjadikan donut anda gebu dan lazat sekali, namun untuk sejuk beku saya lebih memilih untuk tidak meletakkan telur. Ini kerana donut yang dinyahbeku dan digoreng menghasilkan donut yang tidak terlalu berminyak.
Itu sahaja sebabnya saya tidak meletakkan telur di dalam adunan donut. Lain orang, lain cara mereka. Ikut keselesaan anda juga.
Dari segi tekstur pula, adunan tidak perlu terlalu lembik atau keras. Jika terlalu lembik, susah pula anda ingin bentukkan nanti. Jika terlalu keras, kesian pula stand mixer anda kepenatan nak menggaulnya nanti.
Saya sediakan beberapa video di bawah. Anda boleh lihat sendiri bagaimana tekstur sebenar donut yang saya hasilkan kali ini.
Video di atas menunjukkan adunan diuli menggunakan stand mixer. Anggaran adunan siap diuli dalam 15 minit. Masa siap diuli bergantung kepada jenis stand mixer juga. Pastikan anda gunakan dough hook seperti dalam gambar di bawah. Dough hook stand mixer yang saya gunakan adalah daripada jenama Morgan.
Oh ya, sebelum anda meletakkan mentega di dalam adunan, elok juga anda perhatikan tekstur adunan. Seperti yang saya katakan, tekstur adunan tidak terlalu lembik atau terlalu keras. Lembut la maksudnya. Setelah itu, barulah anda masukkan mentega ke dalam adunan.
Setelah adunan donut siap diuli, maka anda akan lihat adunan anda seperti video di bawah. Saya pula geram melihat tekstur adunan donut ini. Rasa nak genggam sahaja adunan ini. Itulah kan, adunannya lembut dan putih, siapa tak geram.
Baik, kembali kepada hasil adunan donut tadi. Bentukkan menjadi satu bebola besar. Tutup dengan menggunakan kain dan biarkan adunan selama 30 minit atau 45 minit.
Namun, saya terlebih rehatkan selama sejam setengah kerana ada urusan tadi. Terkejut juga apabila melihat doh yang kembang betul. Hasilnya tidak cantik sangat la nanti.
Setelah itu, adunan yang sudah kembang sedikit selepas 45 minit, adunan tadi perlu diuli sekali lagi. Seperti biasa, tangan saya kecil untuk mengulinya, jadi stand mixer la perlu bantu saya !
Siap uli, beberapa adunan berbentuk bola yang kecil dihasilkan. Kemudian tunggu lagi selama 1 jam 30 minit atau 2 jam.
Setelah itu, adunan yang telah kembang sebanyak dua kali tadi dibuat lubang di tengah-tengah untuk dijadikan bentuk donut. Anda perlu cepat-cepat memasukkan donut yang dibuat lubang ke dalam minyak yang panas.
Donut tadi perlu digoreng separuh masak. Ini adalah bertujuan untuk dijadikan donut itu makanan sejuk beku. Ketika sahur atau berbuka nanti, anda hanya perlu nyah beku donut dan gorengnya sahaja. Mudah nanti !
Opppss, 5 biji donut saya goreng sehingga keperangan untuk makan bersama keluarga petang ini. Alang-alang buat donut sejuk beku, bagilah saya merasa juga. Tadi sudah geram dengan adunan donut yang gebu dan putih, takkan tidak makan pula.
Apa lagi, jom buat sekarang untuk memudahkan anda menyediakan makanan ketika sahur dan berbuka nanti. Lagi-lagi sejuk beku ini.
Cinta Baking mengutamakan penggunaan stand mixer dan oven sebagai pelengkap dalam menyediakan makanan kegemaran anda. Penggunaan stand mixer dan oven bukan sahaja meringankan beban anda di dapur, malah ia dapat menjimatkan masa anda. Sudah tentu anda akan berpuas hati dengan masa anda yang lebih efisien lagi. Emosi anda juga lebih stabil !